Showing posts with label Kek. Show all posts
Showing posts with label Kek. Show all posts

Wednesday, May 8, 2013

070513 - Heavenly Carrot Cake For ZamZura's Relationship Anniversary

Assalamualaikum semua...
Semalam 070513 genaplah 8 tahun usia perkenalan antara aku dan suami. Rasa macam tak percaya pula, dah 8 tahun kami kenal. Dari dunia student, then masuk dunia pekerjaan pula, dan sehinggalah sekarang dah masuk dunia berkeluarga. Alhamdulillah, kami still bersama dalam apa jua keadaan, suka dan duka.
Dalam tempoh 8 tahun ini juga, pelbagai dugaan yang kami lalui untuk sampai ketahap sekarang. Lebih-lebih lagi masa tempoh pertunangan kami...Kalau diingat kembali hubungan kami masa tu ibarat retak menanti belah je. Syukur yang amat sangat jodoh kami masih kuat, akhirnya kami disatukan pada 140309 setelah 4 tahun kami berkawan.
Kalau ditanya macam mana kami boleh kenal???ermm...malu nak cerita, tapi apa yang aku boleh bagitau kami kenal waktu sama-sama belajar kat UiTM dulu. Gedikkan aku, time belajar sibuk bercintan-cintun...ha..ha...Dia banyak membantu aku waktu belajar dulu...kiranya dia ni my hero lah...kuang..kuang...
Sampai sekarang pun he still my hero, dialah yang terbaik, dialah paling terindah kurniaan yang Allah berikan dalam hidup aku. Dialah teman, dialah kekasih, dialah suami dan dialah juga ayah kepada anak-anakku.
Mudah-mudahan hubungan kami akan terus mekar mewangi, di redhai Allah dan berkekalan hingga ke syurga. Moga kami sentiasa diberikan ketabahan, kesabaran dan keimanan yang tinggi dalam usaha membina keluarga yang bahagia. Aminnn ya Allah... 
So, dengan bersemangatnya aku pun berperanglah kat dapur menyiapkan kek ualang tahun perhubungan kami ni. Just a simple cake tapi penuh bermakna. Maklumlah aku ni bukan reti sangat baking cake yang canggih-canggih ni..kalau boleh nak yang mudah, sedap dan cepat disediakan.
Google punya google terjumpalah resepi "Heavenly Carrot Cake" kat blog  Dapur Tanpa Sempadan milik blogger terkenal Mat Gebu. Kat situ macam-macam resepi masakan ada tau, best-best...
Resepi kek carrot ni memang simple dan mudah disediakan..tak ada guna mixer, just godek-godek guna senduk je. Hasilnya memang tak mengecewakan, sedap sangat, moist dan memang heaven lah bila makan..he..he...
Tapi tang decorate cake tu memang aku fail lah...memang terserlah kecomotannya. Aku just tepek cream atasnya, then buat bentuk lobak kat keliling dan tulislah perkataan yang bersesuaian. Yang kelakarnya tu, tulis pun senget..aduh...memang keras ketung sunguhlah tangan ibu Haiqal ni...
Kalau nak resepi asal kek carrot Mat Gebu bolehlah klik SINI ya..aku ni suka derhaka sikit, ada bahan yang aku tambah dan ganti ikut apa yang ada kat dapur aku. Seriously, sesiapa penggemar kek carrot tu cubalah resepi ni..memang tak rugi...sedap sangat!!! Nak tengok tak kek carrot comot???he..he..

senget bengetlah tulisannya... =)

biasalah..haiqal wakil ibu dan ayah potong kek..he..he..

rupa di dalamnya..meriah kaler asli carrot...

Sesiapa nak mencubanya, aku letak resepinya kat bawah ni ya...tapi kalau nak yang original bolehlah tengok kat blog Mat Gebu.

HEAVENLY CARROT CAKE (Sumber : Mat Gebu)
Bahan-Bahan :

  • 1 cwn tepung gandum *
  • 1 camca teh baling powder *
  •  1/2 canca teh soda bicarbonate *
  • 1/2 camca teh garam halus *
  • 1 1/4 camca teh serbuk kayu manis * - ibu Haiqal tak letak
( * di ayak bersama )
  • 2 biji telor gred A
  • 3/4 cwn minyak jagung - ibu Haiqal guna minyak masak
  • 3/4 cwn gula perang - ibu Haiqal guna gula kastor
  • 1 1/4 cwn parutan lobak merah - perah sedikit airnya
  • 1/2 cwn nenas nenas dalam tin (tos dan cincang kasar ) - ibu Haiqal tak letak
  • 1/2 cwn kelapa kering
  • 1/2 cwn kacang walnut - Ibu Haiqal tak letak
Ibu Haiqal tambah :
  • 1/2 cwn campuran buah-buahan kering
  • 1/4 cwn choc chips
Bahan Cream Cheese :

  • 100 gram mentega
  • 125 gram cream cheese
  • 1 camca teh essen vanila
  • 11/2 sudu besar guala icing - ayak
Cara-cara :
1. Panaskan oven pada suhu 180' C. Griskan tin (7x7x3) dengan minyak dan alaskan dasar tin dengan kertas minyak.
2. Dalam satu bekas, masukkan telor, minyak, gula kacau dengan whisk sehingga rata & sebati (>< 5 minit ). Kemudian masukkan bahan-bahan diayak dan gaul sebati.
3. Masukkan nenas, kelapa kering, walnut, buah-buahan campuran, choc chips dan gaul rata dengan spatula. Tuang dalam tin dan bakar selama 50 minit @ 1 jam @ sehinga masak.
4. sejukkan kek sebelum di sapu cream cheese.
Cara-cara Cream Cheese :
1. putar cream chese dan mentega hingga sebati. Kemudian masukkan icing sugar dan vanilla, putar lagi hingga gebu dan halus. (gunakan kelajuan sederhana ) 

SELAMAT MENCUBA !!!
 


 


Tuesday, April 30, 2013

Kek Coklat Mudah Ibu Haiqal

Assalamualaikum semua.. 
Yeay!!! esok cuti!..Wah..wah..aku ni mengalahkan orang yang bekerja pula seronoknya..hu..hu...Tak pelahkan, seronok bagi pihak suami...sekurang-kurangnya boleh rehat, ada orang nak uruskan Haiqal. Kira cuti jugalah aku walaupun tak sepenuhnya.
So, esok nak buat ape ye??...tengah terfikir-fikir lagi ni. Tanya en. suami, biasalah jawapan dia "suka hati"...tapi nampak gayanya macam duduk kat rumah je, rehat-rehat dan bersenang lenang. Sekarang ni bila nak keluar je, kena tengok dulu tempatnya..kalau yang memerlukan berjalan kaki yang lama...jawapannya tak do maknanyalah aku nak pergi. Dah tak larat dah si Ibu Haiqal ni nak berjalan lama-lama...sakit kaki dibuatnya nanti...
Oh ya, semalam petang aku telah berjaya merajinkan diri mem "baking". Itu pun sebab mengidam nak makan kek. Kena layankan juga tekak ibu mengandung ni, kan nanti "ngences" adik Haiqal..he..he..
Orang mengidam ni bukan boleh tunggu-tunggu. Kalau boleh masa tu teringin, masa tu juga nak makan. Sebenarnya teringin nak makannya malam kemarin tapi nak buat dah malam..so nak tak nak tunggu keesokkan harinya lah. Mujur, malam tak termimpi-mimpi...
Rasanya ramai yang dah tau buat kek coklat ni, siap ada bermacam-macam versi lagi. Tapi kali ni aku nak buat kek coklat yang paling mudah, just guna blender je. Malas nak guna mixer bagai...hu..hu..alahai malas sunguh ibu Haiqal ni..ish..ish...
Alhamdulillah, walaupun guna blender kek still naik dan dapat pujian dari en.suami lagi. Bukan senang suami aku ni nak makan kek coklat banyak tau. Dia ni bukan pengemar coklat. Rasa kembang semangkukla aku...Kalau si Haiqal, ape-ape kek coklat pun dia suka..asalkan bercoklat....

Kek Coklat with simple ganache
Aku buat sikit je adunan keknya ,agak-agak cukup untuk kami sekeluarga. Kepada yang nak mencuba Kek Coklat Ibu Haiqal ni bolehlah tengok resepinya kat bawah ni ya...Kalau berkeluarga besar, better double kan bahan-bahannya...

Kek Coklat Ibu Haiqal

BAHAN-BAHAN KEK:

  • 1 cwn tepung gandum *
  • 1/2 cwn serbuk koko *
  •  1 sudu teh baking powder *
  • 2 biji telor
  • 1/2 cwn gula pasir
  • 1/2 cwn susu pekat manis
  • 1/2 cwn minyak masak
  • 1/2 cwn air suam
  • 1 sudu teh ovellate
  • sedikit garam
BAHAN-BAHAN GANACHE :

  • 1 sudu makan serbuk koko
  • 2 sudu makan susu pekat manis
  • 2 sudu teh butter 
CARA-CARA :

  1. Campurkan bahan-bahan yang bertanda ( * ) dan ayak, ketepikan.
  2. Masukkn telor, gula pasir, susu, ovellate, garam dan minyak masak ke dalam blender. Blend bahan-bahan sehingga hancur dan sebati.
  3. Keluarkan bahan-bahan yang di blend tadi ke dalam mangkuk. Masukkan bahan-bahan yang di ayak tadi berselang-seli dengan air suam. Gaul sebati dan tidak berketul-ketul.
  4. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah di gris dengan butter.
  5. Bakar pada suhu 160'C selama 30 minit @ sehingga masak.
CARA-CARA MEMBUAT GANACHE:

  1. Satukan semua bahan dalam mangkuk dan masak secara double boil.
  2. Setelah sejuk bolehlah dituang atas kek tadi. 




SELAMAT MENCUBA!!! 

Friday, June 29, 2012

Chocolate Bottom Banana Square

Assalamualaikum...
Wah..wah...ibu Haiqal lama bebeno lah menyepi ye???hu..hu...mood ber blogging nun ke laut sana..entahla, semakin lama makin malas pula nak update blog...
Apapun hari ni gagahkan juga nak update cerita tentang kek yang aku buat baru-baru ni. Saje melayan anak tekak tetiba nak makan kek pisang pula, mentang-mentangla puasa...ha..ha..=)
Walaupun namanya boleh tahanlah  panjang tapi mudah je nak membuatnya. Resepi CBBS ni aku ambil dari Dapur Kak Madiha. Resepi yang sangat mudah, sedap dan paling penting keknya moist. Padaku gabungan coklat dan pisang memang "mabeles" la...he..he..
Resepi asal dalam bahasa "omputih" tapi aku dah terjemahkan dalam bahasa kita..Harap-harap dapat membantulah ya...Sesiapa nak original resepinya bolehla klik SINI.

Chocolate Bottom Banana Square

2 in 1 rasa coklat dan pisang
CHOCOLATE BOTTOM BANANA SQUARE (Sumber : Dari Dapur MadihaA )
Bahan-bahan :

  • 1/2 cwn butter
  • 1 cwn gula
  • 1 biji telor
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 1/2 cwn pisang lenyek
  • 1 1/2 cwn tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh soda bicarbonate
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/4 cwn serbuk koko
  • 1 cwn choc chip * ibu Haiqal tak letak
  • Almond nibs secukupnya - ditabur di atas kek

 Cara-cara :
1. Pukul butter dan gula sehingga kembang dan ringan. Kemudian masukkan telur, vanilla, pisang dan pukul hingga sebati.
2. Dalam mangkuk lain, masukkn tepung, soda, baking powder dan garam. Gaul sebati.
3. Kemudian masukkan ke dalam adunan butter tadi dan putar hingga sebati.
4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian, masukkan serbuk koko dan adun sebati.
5. Griskan loyang terlebih dahulu.Masukkan adunan campuran koko dan ratakan. Kemudian ambil adunan pisang pula dan ratakan di atas permukaan adunan campuran koko tadi.
6. Taburkan choc chip dan badam cincang di atasnya. Bakar pada suhu 170' C - 30 minit @ sehingga masak. 
 
Selamat mencuba!! 
 
 
 

Wednesday, June 20, 2012

Kek Batik + Puff Darurat = Yummy!!!

Assalamualaikum...
Dah lama tak update, agak bz sikit ditambah MALAS...hu..hu..Hari ni nak show off juadahminum petang semalam. Mimpi apa entah Ibu Haiqal siap buat 2 jenis menu lagi..he..he...mood tengah rajin kot..
Sebenarnya plan just nak buat kek batik je. Tiba-tiba teringin nak makan pula semalam tapi stock biskut marie tak ada, yang ada biskut weetameal Jacobs. Pe lagi bantai guna biskut tu jelah. Rasanya lagi berkhasiat kot. Apa-apa jelah ibu Haiqal ni...tapi hasilnya Alhamdulillah sedap...

Kek Batik Weetameal


kek batik versi Ibu Haiqal...

Itu al kisah Kek Batik, sebelah petangnya pula tekak ni teringin pula makan puff. Belek-belek stock kat dapur nak buat inti tak ada pula tapi nak juga makan puff. Tengok kat peti ais ada sosej, letak sosej kat atas puf jelah nampaknya. Lepas tu letak la sos cili dan mayo thousand island.Ni ala-ala puff darurat la tapi hasilnya wallah...sedap....

Puff darurat...

bestnya dapat makan panas-panas...


KEK BATIK WEETAMEAL
Bahan-bahan :

  • 1/2 cawan butter @ marjerin *
  • 1/2 cawan susu pekat manis *
  • 1/2 cawan milo  *
  • 1 sudu besar serbuk koko *
  • 1 sudu besar susu segar *
  • biskut weetameal secukupnya

Cara-cara :
1. Masukkan bahan-bahan yang bertanda ( * ) ke dalam periuk dan masak dengan api kecil. Kacau sebati dan jangan sampai berkerak.
2. Setelah sebati dan pekat, matikan api.
3. Letakkan plastik dalam loyang @ bekas plastik, susunkan biskut di dalamnya dan tuangkan  adunan milo tadi sehingga melitupi biskut. Kemudian susunkan biskut lagi di atasnya dan tuang adunan milo. Buat sehingga habis.
4. Kemudian, bolehlah disimpan di dalam peti ais. Dah keras, bolehla dipotong dan dihidang.

Selamat Mencuba!!!
 
 
 


 
 

Tuesday, May 15, 2012

Kek Coklat lagi...

Assalamualaikum...
Saje meng "update" blog sementara menunggu suami balik. Actually, aku baru je habis buat kek coklat, konon-konon nya buat minum petang suami aku tapi sampai sekarang tak balik lagi..hu..hu..nampak gayanya buat minum malam lah ye... =)
Kek coklat ni entah dah ke berapa kali aku buat...ni antara"paberet" resepi kek coklat aku. Mudah dan simple je buatnya. Tapi sayang aku lupa dari mana aku ambil resepinya. Tak dapat nak bagi backlink ke tuan empunya resepi ni. Apapun, terima kasih bebanyak sudi share resepi yang sangat sedap ni.
Meh tengok hasil air tangan ibu Haiqal ni yang pastinya "comot" hu..hu...

kek baru keluar dari oven...tunggu sejuk...

dalam proses di "make up" dengan chocolate ganache...

dah siap..hasilnya agak comot..hu..hu...

slices for my son...and also for me...he..he...

Kepada sesiapa yang nak mencubanya bolehlah tengok resepinya di SINI ye.. 
Selamat mencuba...

Monday, May 14, 2012

Kek Lapis Cheese Pesona..mudah disediakan dan sedap di makan... =)

Assalamualaikum...
Alhamdulillah, hari ni diberikan kerajinan untuk meng'update' blog kesayanganku ini. Sebelum tu, aku ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada seluruh wanita yang bergelar ibu, emak, mama, umi, mummy dan apa jua panggilan untuk insan yang banyak berkorban dalam hidup kita di dunia ini. Kepada emak ku yang tercinta, moga mak sentiasa di rahmati oleh Nya dan sayang mak sangat-sangat...
Terasa letih lagi badan ni, maklumlah malam tadi baru sampai rumah tapi rasa seronok sangat dapat spend masa dengan family kat kampung. Walaupun baru je balik kampung tapi hati ni tetap rindu kat family...aku memang macam tu dari zaman bujang, paling lama tak balik kampung pun sebulan. Kalau boleh tiap-tiap minggu nak balik..hu..hu..  
Kebetulan nak balik kampung, pagi Jumaat tu aku merajinkan diri buat Kek Lapis Cheese Pesona untuk family aku kat kampung. Lagipun mudah je, tak payah nak guna oven, just chill je kat peti sejuk. Bila dah keras, boleh di potong dan di makan.
Resepi ni aku ambil di SINI. Thanks to Ryo, berkongsi resepi yang sangat lazat dan mudah ni. My family love it very much...suami dan Haiqal??? sudah pastinya pun suka dengan rasa lemak-lemak manisnya tu..Aku pula, lagi-lagilah suka, he..he...ditambah pula orang-orang  yang makan kek tu kata sedap....Kepada yang belum mencubanya, sila cubalah ye, tak rugi pun...
Jom tengok hasil air tangan Ibu Haiqal ni, maaflah ye hasilnya agak comot... =) 


Kek Lapis Cheese Pesona...
memang mempesonakan bila memakannya...he..he...

potong kecil-kecil untuk buah hati ibu...
KEK LAPIS CHEESE PERSONA  (Sumber : Ryo )
Bahan2: (Saiz 9x9) *ibu haiqal guna loyang 7x3x3 (buat 1/2 adunan )


A:
  • 2 bungkus biskut marie perisa coklat-lebih kurang 600 g (ryo guna jenama LEE) * ibu haiqal guna biskut marrie coklat jenama Hup Seng
  • 500 ml susu segar,dipanaskan * guna 250 ml
B:
  • 500 g cheese cream (Philadelpia/Tartura) * 270 g Tartura cream cheese
  • 10 ml susu segar * 5 ml susu Dutch Lady Low Fat
  • 1/2 cawan gula halus * 1/4 cawan gula halus
  • * ibu haiqal tambah 1 sudu besar susu pekat manis

Caranya :

  1. Satukan cheese dan gula halus,pukul sebati
  2. Masukkan susu segar sedikit demi sedikit,jangan sampai adunan terlalu cair
  3. Pukul lagi hingga kembang dan sebati,ketepikan
  4. Sediakan bekas yang di alaskan terlebih dahulu dengan plastik/kertas minyak/baking paper.
  5. Panaskan susu segar,padamkan api.
  6. Ambil sekeping2 biskut dan celup ke dalam susu (suam2 panas)..terus susun dalam bekas..(Celup 1 saat je taw)
  7. Pastu sapukan adunan cheese di atasnya,ratakan
  8. Ulang proses melapis biskut,kemudian sapukan lagi adunan cheese tadi
  9. Ulang proses melapis hingga habis,biarkan lapisan cheese di atas sebagai lapisan terakhir.
  10. Kemudian,kisar baki biskut yang ada,taburkan dengan cara menapis serbuk biskut tu dia atas lapisan cheese.(Kalau pakai jenama LEE,boleh ramas2kan je dalam penapis tu..jadi serbuk lah ia..)
  11. Tekan2 sikit permukaan tu..masukan dalam peti sejuk,biarkan selama 6 jam sebelum dipotong.
Selamat Mencuba!!!

Friday, February 10, 2012

Kek Marble pertamaku... =)

Assalamualaikum...Alhamdulillah, hari ni aku telah merajinkan diri meng 'update' blogku yang telah bersawang ni...hu..hu... Pada mulanya aku nak delete je blok Kasih Ibu ni tapi terasa sayang pula...
Ermm...pe nak cerita yer..dah beku pula nak mengarang ni...oh yer, semalam petang aku ada buat kek marble...Sebenarnya dah lama aku teringin buat kek marble ni. Kata orang mudah je caranya. So, petang semalam aku pun menggodek la kat dapur dengan assistant setia aku...siapa lagi kalau tak si Haiqal... =)
Resepi yang aku guna ni memang mudah, hanya guna blender jer. Tak yah nak ber 'mixer'...tapi hasilnya tak mengecewakan. Lembut dan sedap rasanya...Amat sesuai di buat minum petang..Mudah...Cepat...dan Sedap...Agak-agaknya ada sesiapa nak cuba tak? Sila angkat tangan!!! he..he...Oklah resepinya ada di bawah ni ye....


Kek Marble

Beginilah corak di dalamnya....pink + coklat

KEK MARBLE
Bahan-bahan :

  • 1 1/4 cawan tepung gandum + 2 sudu teh baking powder = ayak
  • 1/2 cawan gula pasir *
  • 1/2 cawan marjerin - di cairkan *
  • 1/2 cawan susu segar *
  • 2 biji telur *
  • 1/2 sudu teh ovellete *
  • sedikit garam *
  • pewarna mengikut citarasa - Ibu Haiqal guna choc emulco dan pewarna pink
Cara-Cara : 
1. Masukkan bahan-bahan yang bertanda ( * ) ke dalam blender dan blend hingga gula hancur dan kembang. 
2. Keluarkan bahan yang di blender tadi ke dalam mangkuk dan masukkan tepung sedikit demi sedikit, kacau hingga adunan sebati dan tidak berketul-ketul. 
3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian dan letakkan pewarna kesukaan. 
4. Griskan loyang dan masukan adunan berselang seli sehingga habis. 
5. Bakar pada suhu 160' C selama 50 minit atau sehingga masak.

Selamat Mencuba!!!

 

 
 

 

Monday, July 4, 2011

Balik kampung + Marble Chocolate Cheese cake

Assalamualaikum semua...Moga hari ni segala urusan kita dipermudahkan oleh Nya..Aminnn... 

Terasa cepat masa berlalu, seminggu dikampung rasa tak puas pula...Apa pun syukur Alhamdulillah seminggu makan masakan mak...best...=) Hari ni rutin harianku kembali seperti biasa, dah tak de orang nak masakkan..kena masak sendiri...hu..hu...

Bercerita tentang balik kampung, seperti biasa aku akan bawa buah tangan untuk keluargaku di kampung..Kali ni aku bawa Marble Chocolate Cheese Cake, bersempena juga birthday Mak Ngah Haiqal...Kebetulan pula aku memang dah lama usha kek ni, nampak macam menyelerakan...Jom tengok hasilnya....

Marble Chocolate Cheese cake

Dan buat pertama kalinya jugalah aku decorate kek guna butercream...uiiih...memang mencabar sungguh bemain dengan nozzel dan aicing ni, maklumlah tangan keras tapi Alhamdulillah suami dan keluargaku kata cantik,  kembang hidung ni..ha..ha...terasa seronok pula bila dah jadi, semakin menggilalah aku lepas ni decorate kek....

Bagaimanapun rupa sesuatu kek yang penting rasanya.. betul tak??? kek ni memang amat sesuai untuk buat birthday kek..dah la lembut, rasanya cokelatnya yang sedap ditambah dengan rasa cream cheese..memang mengancamlah...Memang tak rugilah sesiapa yang mencubanya....Insya Allah jadi...

Resepi kek ni aku ambil dari blog masakan favarote aku, siapa lagi kalau bukan kak izahdaut ...Terima kasih banyak-banyak kerana sudi kongsikan resepi kek yang sedap ni...Minta izin juga kongsikan resepinya di sini...

kek dari pandangan atas...


MARBLE CHOCOLATE CHEESE CAKE (sumber :izahdaut )
Bahan A:
  • 250gm mentega
  • 1 1/2 cwn gula halus (gula kastor)
  • 5 biji telor gred A  *ibu haiqal guna 4 biji je
  • 1/2 cwn serbuk koko *
  • 1 1/2 cwn tepung halus *(saya guna tpng gandum je) * ibu haiqal pun guna tepung gandum
  • 2 sudu kecil baking powder * (bahan * diayak bersama)
  • 1 sudu kecil pewarna coklat/coklat emulco
  • 1/4 cwn susu cair

Bahan B:
  • 250 gm cream cheese
  • 3 sudu besar gula halus (gula kastor)
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 biji telor gred A
  • *saya tambah satu sudu makan parutan kulit oren  *ibu haiqal tak letak

Cara-cara :

 1. Panaskan oven pada suhu 160C. Lenser tin berukuran 8x8x3 inci. Alas dasar tin dengan kertas minyak. Ketepikan. 
2. Putar mentega dan gula hingga putih. 
3. Masukkan telor satu persatu sambil terus memutar hingga kembang dan gula hancur. 
4. Perlahankan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit, berselang seli dngn susu cair hingga habis. 
5. Gaul rata dengan spatula. Dah siap ketepikan dulu. 
6. Dalam mixing bowl lain yang bersih dan kering, masukkan cream cheese, esen vanila dan gula. Putar hingga sebati. 
7. Masukkan telor dan putar hingga gula hancur dan adunan berkrim. 
8. Tuangkan adunan coklat dalam loyang, ratakan. 
9. Tuang pula adunan cream cheese dan ratakan dan buat selang seli hingga habis. 
10. Tuangkan baki adunan coklat(akhir) dan ratakan. 
11. Bakar selama 40 - 45 minit atau hingga masak. Sejukkan atas jaringan sebelum dipotong. 
12. Cucuk dngn lidi kecil/btng satay untuk test kek dah masak ke belum....kalau keluar licin bermakna sudah masak. Sekiranya belum masak, tambah sedikit masa lagi.

Manakala resepi buttercreamnya pula aku ambil dari internet tapi tak ingat pula ambil dari mana. 

BUTTERCREAM
Bahan-bahan :
  • 250 gram buter / shortening 
  •  125 gram krimwell 
  • 125 gram gula icing (ayak 2 kali)
Cara-cara:
1. Dengan kelajuan rendah pukul butter dan krimwell hingga putih
2. Kemudian masukkan gula icing yang telah diayak dan pukul lagi sehingga sebati dan tidak berketul-ketul.
3. Warnakan mengikut citarasa anda

Selamat Mencuba!!! 
 
 

 
 

 

 

 
 


Monday, June 6, 2011

Kek Carrot pertamaku...

Assalamualaikum...Moga kita sentasa di bawah lindungan dan hidayah Nya..aminn...Alhamdulillah, semalam dengan jayanya aku telah membuat kek lobak. Hilang terus segala kekecewaan aku membuat whoopie pie yang tak menjadi sebelum ini. Dah lama aku usha kek lobak ni..macam-macam jenis resepi kek lobak aku google dan akhirnya aku telah memilih resepi Kek Carrot dari Myresipi

Pada mulanya macam malas je nak mengodek-ngodek di petang hari tapi dek kerana tekak ni mengada-ngada nak makan kek. Suami pun ada kat rumah bolehlah aku buat kerja dengan tenang...So, anak ibu tak de can lah nak kacau ibu...he..he...

Berdebar-debar juga nak buat kek ni, maklumlah first time ni buat kek lobak....masih dihantui perasaan takut tak jadi. Kali ni aku ambil langkah berhati-hati, hanya buat separuh adunan je..hu..hu...Kalau tak jadi pun taklah rasa galat sangat....Pe kata jom tengok hasilnya....

Kek Carrot

Setelah di "make up" dengan icing sugar...

setelah di potong...ermmm....sedap....

Sepatutnya resepi ni kena letak topping cream cheese tapi apa kan daya stok cream cheese tak ade aku just ayak  icing sugar di atasnya..Bukan tu je, dalam resepi suruh letak cincangan walnut tapi aku tukar pada buah-buahan campuran...ha..ha..derhaka..derhaka...=) Nak buat lagu mana hanya stok tu je yang ada kat dapur...

Walaupun daku derhaka pada tuan empunya resepi tapi Alhamdulillah kek tetap rasa sedap dan lembut. Suami pun puji sedap...hu..hu..kembang kempisla hidung aku....Haiqal pun suka tau....Terima kasih bebanyak kepada tuan empunya resepi ni iaitu  newbie123..Apa lagi, meh la try kek Carrot ni...

KEK CARROT (sumber : Myresipi )
Bahan-bahan :
  • 2 1/2 cawan parutan lobak (lebih kurang 3 batang carrot)
  • 4 biji telur
  • 1 cawan minyak sayuran *ibu haiqal guna minyak masak
  • 1 1/2 cawan gula putih
  • 2 cawan tepung
  • 1 sudu teh soda bicarbonate
  • 1 1/2 sudu teh baking powder
  • 1 1/2 sudu teh serbuk kayu manis *ibu haiqal tak letak
  • 1 1/2 sudu teh sebuk buah pala *ibu haiqal tak letak
  • 1 sudu teh essen vanilla
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 cawan kacang pecan @walnut cincang *ibu haiqal letak dried mixfruit

Cara-cara :
1.  Panaskan oven 185 C. Sapukan sedikit minyak pada tin kek.
2.  Campurkan tepung,baking soda, baking powder, serbuk kayu manis, serbuk nutmeg, garam dan ayak.
3.  Pukul telur dan gula sehingga sebati (tak payah pakai mesin, pakai senduk kayu jer sebab tak payah nak pukul lama- lama). Setelah sebati, masukkan minyak dan pukul lagi hingga sebati.
4.  Masukkan campuran tepung tadi sedikit demi sedikit ke dalam adunan telur dan kacau sebati
5.  Masukkan vanilla, parutan carrot, dan kacang cincang. Kacau sebati, lepas tu tuang dalam tin kek, bakar lebih kurang 40 minit ke satu jam...ikut saiz tin kek jugak...tebal atau nipis kek ni. Lepas 40 minit tu test la sekali sekala, cucuk dengan lidi.


Selamat mencuba!!! 









Thursday, May 26, 2011

Crazy Chocolate Cake - Eggless!!!

Alhamdulillah, hari ni genap umur anak ibu 1 tahun 5 bulan. Sekejap je anak ibu dah besar..rasa macam baru semalam je ibu melahirkan Haiqal tapi ibu tetap anggap Haiqal macam baby lagi...

Justeru, semalam dengan perasaan berkobar-kobar aku pun merajinkan diri buat kek khas untuk Haiqal. Sambil tu boleh juga dibuat untuk minum petang ayah Haiqal. Disebabkan kek ni special untuk Haiqal aku pun carilah resepi kek yang tanpa menggunakan telur. Kira kurang kolestrollah, juga sesuai untuk ibunya yang badan bagai dipam-pam ni..he..he...

Pada mulanya aku agak sangsi juga, yelah selama ni semua kek gunakan telur. Ni langsung tak de guna walau sebiji pun. Boleh jadi ke kek coklat ni nanti??? tapi hasil yang ku lihat dari rakan blogku amat memberangsangkan..Cuba jelah..Tak cuba tak kan tahu hasilnya nantikan...Aku pun cuba resepi Crazy Chocolate Cake yang ku ambil dari blog izahdaut.blogspot.com 

Jeng..jeng...Nilah hasilnya...

Crazy Chocolate Cake



Kek tetap moist walau tanpa menggunakan telur

Kali ni aku tak buat ganache, aku rasa kemanisan kek dah mencukupi dan makan macam tu pun dah sedap sangat.. terasa kecoklatannya.  Aku hanya tabur cincangan badam dan choc chip di atasnya sebelum di bakar. 
Tengok tu Haiqal sibuk nak pegang kek...

Bila kek ni dah masak, Haiqal dah tak sabar-sabar nak makan. Tak sempat nak tunggu sejuk terpaksalah aku potong bagi sikit kat budak comel ni..Selagi tak di bagi selagi tulah dia merengek...

errmmm...sedapnya Haiqal mamam kek ibu...

Pokok pangkalnya kek ni memang sedap sangat, dah la tak guna telur tapi tetap moist..Makan pun tak risau gemuk..he..he..terima kasih ye kak izah kongsi resepi kek coklat ni. Kepada penggemar kek coklat tapi alah dengan telur bolehlah try resepi ni, gerenti tak menyesal... Meh tengok resepinya....

Crazy Chocolate Cake (Sumber : Izahdaut.blogspot.com)
Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan gula halus
  • 3 sudu besar serbuk koko
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1/3 cawan / 80 ml minyak sayuran @ minyak masak
  • 1 sudu besar cuka makan
  • 1 sudu kecil vanilla
  • 1 cawan air sejuk
  • 1 sudu kecil ovallete * Ibu Haiqal tambah
  • 1/2 sudu kecil nesceffe * Ibu Haiqal tambah

Cara-cara:
1. Dalam mixing bowl masukkan bahan-bahan kering (tepung, gula, koko, baking soda, baking powder dan garam) di gaul sebati
2. Kemudian masukkan semua bahan cecair (minyak, cuka, vanilla dan air) gaul sebati
3. Masukkan adunan dalam loyang dah disapu mentega / minyak sedikit
4. Bakar pada suhu 180' C selama 30 minit.
5. Bolehlah dihias dengan frosting 
 Selamat Mencuba!!!






Wednesday, April 27, 2011

Kek Coklat...=) Yummy!!!

Hari ni rasa blur-blur je..Beginilah jadinya bila tidur lewat. Walaupun letih tapi rasa berbaloi-baloi sangat bila sesuatu yang kita usahakan menjadi. Sebenarnya, malam tadi aku berusaha menyiapkan kek coklat untuk sesorang yang istimewa...=)

Ni baru sebiji kek dah macam nak pengsan, tak tahulah kalau berpuluh-puluh kek.. Mau pengsan berkali-kali...=) Tapi sebab minat, tak terasa penatnya masa tu, siangnyalah baru rasa penatnya..Macam manalah orang yang ambil tempahan kek..Tapi kata orang alah bisa tegal biasa. Dah selalu buat mesti dah tak terasa letihnya...

Oklah tak mau celoteh panjang...Jom layan kek coklat moist...

Kek Coklat Moist dari pandangan tepi


Kek Coklat dari pandangan atas

 Aku buat satu adunan dapat dua biji kek tapi yang satu tu kecil sikit sebab adunannya tak banyak. Jadinya dapatlah aku bagi kat jiran sebelah rumah. Sebenarnya nilah pertama kali aku buat kek coklat yang letak filling di tengahnya. Sebelum ni, hanya letak topping je. Aku buat buttercream dan  tambah dengan blueberry jem..Aku rasa krim tu not bad, sedap..masam-masam manis gitu... 

Kek Coklat yang satu lagi..

Sayangnya tak dapat aku tunjukkan bagaimana rupa dalam kek. Yelah, kena tunggu tuan empunya kek ni potong dulu...Kek yang kecil tu pula aku bagi kat jiran semuanya. Kiranya aku sendiri pun tak tahu bagaimana rupa dalam kek ni...=) Tawakal jelah...Jom tengok resepinya:

KEK COKLAT MOIST 
Bahan-bahan A:

  • 2 cawan tepung naik sendiri 
  • 2 cawan gula halus
  • 3/4 serbuk koko 
  • 1/2 camca teh nescafe
Bahan- bahan B:

  • 3 biji telur
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 1 cawan minyak
  • 1 camca teh ovallate
  • 1 cawan air suam 
Cara-cara:
1.  Ayak tepung dan koko, ketepikan.
2. Pukul telur dan gula hingga kembang. Kemudian masukkan susu, minyak masak, ovallate dan nescafe, pukul lagi hingga sebati.
3.  Masukkan tepung dan koko yang telah diayak tadi ke dalam adunan telur berselang-seli dengan air suam.
4. Masukkan ke dalam loyang yang telah digris dan bakar pada suhu 160'C selama 45 minit @ sehingga masak. 
Selamat mencuba!!!








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...